Semasa saya berada di Singapura awal tahun ini selama sebulan menjadi Felo di Asian Law Institute National University of Singapore, saya bertemu dan berkawan dengan beberapa orang pensyarah yang peramah dan berhemah tinggi. Salah seorang adalah berbangsa Amerika bernama Helena. Bila dua orang yang berlainan bangsa dan budaya bertemu, maka sudah tentu perbincangan berkisar tentang apa-apa perkara berkaitan negara masing-masing. Helena sudah lama berhijrah ke Singapura, jadi saya tidaklah tanya dia tentang Uncle Sam, tetapi Helena amat berminat nak tahu tentang saya, Kuala Lumpur dan Malaysia amnya. Bukan kerana dia tidak pernah datang KL, tetapi dia hanya tahu KL dari perspektif dia sahaja. Antara inti perbualan kami di samping cawan teh masing-masing di cafe ialah tentang pembuangan bayi. Dia bertanya kenapa banyak kes orang Malaysia buang bayi? Satu soalan yang menuntut pelbagai jawapan, tapi saya buntu dan termalu sebenarnya untuk menjawab. Sebab mereka tak mahu bayi tu? sebab mereka orang-orang yang kejam? sebab mereka tak mengambil langkah wajar bila melakukan hubungan seks? Soalan ni sebenarnya sama derngan soalan yang Nadia, anak saya tanya: kenapa ada orang buang baby? Adoiiiii....kalau saya ni seorang komedian seperti Harith Iskander mungkin saya boleh jawab: owh they are not Malaysian, these are bunch of illegal foreigners from ...wanting to create havoc in the country.Apabila saya membentangkan kertas kerja berkaitan khalwat dalam satu seminar di Fakulti Undang-Undang, NUS selepas itu, ada seorang peserta yang bertanya adakah undang-undang khalwat mampu mengurangkan masalah pembuangan bayi di Malaysia? Susah untuk saya beri jawapan kaitan secara langsung sebab musabbab di antara kedua-duanya, tapi saya sentiasa percaya tentang apa yang disebut sebagai PENCEGAHAN.
Secara analoginya, buang bayi tidak akan berlaku jika pasangan itu tidak bermula dengan berkhalwat. Bila dah berkhalwat berdua-duaan, boleh jadi meningkat ke peringkat seterusnya: berzina. Bila berzina - fikir nak seronok je - terlupa le pakai "stokin". Bila gitu, termengandung, barulah panik "tahap dewa" (istilah jumpa dalam facebook Yukieharo Tsukihimie), mulalah pakai baju besar, jalan pun perlahan-lahan. Yang saya hairan tu, macamana orang dalam rumah mereka tu tak terperasan saiz perut tu. Mak Ayah tak pernah ada dirumah ke, tak pernah bersembang-sembang secara dekat ke, tak ada komunikasi langsung. Bukan ke cara berjalan pun dah lain?
Yang si penderma sperma pulak, agaknya mula la menjauhkan diri, tak mengaku, tak nak kawan, tukar nombor handphone, ugut si perempuan dan macam-macam lagi lah. Tinggallah si perempuan malang tu (malang ke?) menangani kehamilan yang tidak diundang tu seorang diri.
Saya cuba nak memahami idea diberikan oleh KM Melaka. Saya lihat cadangan dia tu mungkin relevan dalam konteks negeri Melaka, dan mungkin tidak di negeri lain. Letak mereka yang hamil dalam sebuah sekolah khas dan kahwinkan mereka yang nak kahwin muda. Melaka Bandaraya Bersejarah ini sebenarnya telah lama menjadi juara bagi kes-kes syariah, terutama sekali kesalahan HAMIL LUAR NIKAH. dalam tempoh 2000-2009 sebanyak 1232 kes disabitkan di Mahkamah Syariah Melaka sahaja, satu jumlah yang tidak terdapat di negeri lain. Ketua Penguatkuasa Agama Melaka, Tuan Rahimin Bani pernah memberitahu saya bahawa dalam bulan puasa pun ada remaja kena tangkap bersetubuh di dalam tandas sebuah tapak pembinaan! Hamil ni dah kira fasa ke-3. Khalwatlah fasa pertama, jadi kalau kita nak trouble-shoot masalah, kenapa kita tidak tembak akar atau punca masalah tu terlebih dahulu? Kalau kita settlekan budak yang hamil dengan cara beri galakan supaya mereka berkahwin muda, saya rasa agak lari sikit penyelesaian masalah itu. Ini kerana, kita tahu, mereka ni bukan nak kahwin pun, nak menggatal je...
Saya ingat, lebih baik KM Melaka hapuskan pusat-pusat hiburan yang terlebih berlambak di negeri yang tidak sebesar mana tu, kurangkan pemberian lesen karaoke, kelab malam di Melaka Raya, kawal kemasukan minuman keras, hapuskan aktiviti pelacuran, kuatkan penguatkuasaan, tambah penguatkuasa agama dan macam-macam lagi. Pendekata, maksiat yang berleluasa lah yang mendorong semua ini berlaku.Islam dah ajar, tegah, nasihat dan larang khalwat dan zina (Pendidikan Islam kat sekolah ada belajar ka?). Tapi, kalau dah langgar hukum Allah, kita kena hukum, demi menegakkan hukum Allah.Tak payah nak kesian lagi. Namun, kebanyakan kita ni, kalau sebut je hukuman sebat 100 kali untuk penzina, mulalah cakap ini zalim, langgar hak asasi (sic.), kita kena nasihat dan kaunseling. Kan Islam dan lama nasihat dan beri peringatan, kenapa tak ikut? Hukuman tu terpaksa dijalankan bila tak dengar nasihat agamalah. Itulah jalan terakhir bagi yang degil,kan?
1 comment:
agreed with you completely...kembali pada hukum Allah itulah yg sebaik2nya..
Post a Comment