Monday, October 19, 2009

Article in Milenia Muslim, October 2009

Memahami Undang-Undang dan Hukuman Jenayah Syariah

Dr. Siti Zubaidah Ismail
Jabatan Syariah dan Undang-Undang
Akademi Pengajian Islam
Universiti Malaya

Undang-Undang jenayah syariah dalam bentuk sedia ada di negara kita ini tidak pernah terlepas daripada berhadapan dengan pelbagai kontroversi dan polemik. Setelah dikanunkan lebih 25 tahun lalu, peruntukan undang-undang jenayah sering menarik perhatian, bukan sahaja di kalangan pengkaji dan ahli akademik, malah orang awam juga turut menaruh minat untuk mengetahui perihal kesalahan yang diperuntukkan. Umumnya kesalahan jenayah syariah yang ada lebih banyak diwarnai oleh beberapa kesalahan yang popular dalam masyarakat seperti khalwat. Bila menyebut kesalahan jenayah syariah, ramai yang hanya tahu tentang kesalahan khalwat dan tidak yang lain. Ini mungkin disebabkan berita mengenainya sering mendapat liputan di dada akhbar tempatan, lebih-lebih lagi apabila ia membabitkan golongan yang dikenali ramai.

Undang-undang utama yang mengandungi peruntukan kesalahan jenayah syariah ialah enakmen kesalahan jenayah syariah negeri-negeri. Di Wilayah Persekutuan, ia dikenali sebagai Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997. Secara amnya terdapat empat kategori kesalahan. Pertama ialah kelompok kesalahan berkaitan akidah seperti mengaku diri sebagai Nabi, Imam Mahdi, mengajar ajaran salah, melakukan pemujaan terhadap benda selain dari Allah dan sebagainya. Kategori yang kedua membabitkan kesalahan yang berkaitan dengan kesucian Islam dan institusi Islam. Kesalahan-kesalahannya adalah seperti menghina agama, mencela ayat al-Quran dan hadith, mengingkari pihak berkuasa agama, meminum minuman yang memabukkan, tidak menghormati Ramadan dan pelbagai lagi. Kategori yang ketiga ialah berkaitan tatasusila. Kesalahan di bawah kategori ini adalah yang paling banyak dibicarakan di mahkamah syariah. Kesalahan berkaitan tatasusila dan moral ini adalah seperti khalwat, berkelakuan tidak sopan di khalayak awam, berlagak seperti lelaki atau perempuan di tempat awam untuk tujuan tidak mermoral, melacurkan diri, menjadi ibu atau bapak ayam dan sebagainya. Tugas menguatkuasakan undang-undang ini diserahkan kepada Bahagian Penguatkuasaan yang merupakan salah satu bahagian di bawah jabatan agama Islam negeri. Dalam melaksanakan operasi dan siasatan, kerjasama juga diperolehi daripada agensi kerajaan yang lain seperti Polis DiRaja Malaysia dan Jabatan Imigresen terutama apabila membabitkan kes orang asing dan menangani suspek yang bersenjata api dan sebagainya. Sepertimana PDRM, pihak penguatkuasa agama juga perlu menjalankan siasatan dan kertas siasatan yang lengkap akan diserahkan kepada Bahagian Pendakwaan untuk diambil tindakan seterusnya iaitu dengan mengemukakan pendakwaan di Mahkamah Syariah. Mahkamah Syariahlah yang akan membicarakan kesalahan yang disyakki itu berdasarkan bidangkuasa dan hierarki yang ditetapkan.

Dari segi masyarakat pula, kesedaran mesti ada bahawa sebagai rakyat, mereka perlu patuh kepada undang-undang negara. Bagi masyarakat Islam pula, mereka juga adalah terikat dengan undang-undang Islam yang ada. Justeru, tidak boleh dipertikaikan kenapa mereka perlu patuh kepada undang-undang Islam sedangkan masyarakat bukan Islam tidak perlu berbuat demikian.

Rentetan dari pertikaian yang ditonjolkan oleh segelintir masyarakat ini, maka tidak hairanlah jika kita sering mendapati undang-undang jenayah syariah ini mendapat perhatian untuk diperdebat dan dipersoalkan. Antara aspek yang sering ditimbulkan ialah aspek kedudukan undang-undang itu yang dituduh mencampuri urusan peribadi dan seterusnya bertentangan dengan hak asasi manusia. Ia timbul akibat daripada adanya peruntukan kesalahan moral dan sebagainya. Apabila penguatkuasa agama menahan pelakon, penyanyi atau sesiapa sahaja kerana disyakki berkelakuan tidak sopan di khalayak awam dengan berkelakuan tidak senonoh, berpakaian menjolok mata, minum arak dan mabuk, penahanan untuk siasatan itu adalah sesuatu yang sah di sisi undang-undang. Berpakaian singkat, jarang serta tidak memakai pakaian dalam mungkin boleh diterima di Barat sebagai perkara biasa, tetapi apabila ia berlaku di kalangan masyarakat Islam di dalam suasana yang boleh menggalakkan maksiat dan membahayakan diri sendiri seperti di kelab hiburan dan tempat-tempat lain yang seumpama dengannya, maka ia wajar diambil tindakan. Kelakuan tidak senonoh lazimnya membabitkan perbuatan bercium dan berpeluk di khalayak awam. Jika semua ini harus dibenarkan atas nama kebebasan asasi, sudah tentu akan rosak dan binasalah moral sesebuah masyarakat.


Terdapat juga usaha mencabar kesahan undang-undang jenayah syariah sebagaimana yang dikemukakan oleh seorang yang mendakwa dirinya sebagai Rasul Melayu dalam kes Abdul Kahar bin Ahmad lwn. Kerajaan Negeri Selangor, Kerajaan Malaysia dan SL([2008] 4 CLJ 309). Dalam kes ini, pemohon (Abdul Kahar Ahmad) mencabar kesahan kesalahan di bawah undang-undang jenayah syariah yang akan digunakan terhadapnya. Perbuatan mendakwa dirinya sebagai ”Rasul Melayu” merupakan satu kesalahan dibawah Seksyen 6 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Selangor 1995. Beliau berhujah bahawa memandangkan undang-undang jenayah adalah pada keseluruhannya terletak di bawah bidangkuasa Persekutuan, maka enakmen terbabit adalah tidak sah. Hakim Mahkamah Persekutuan Abdul Hamid Mohamad, KHN (ketika itu) menekankan bahawa Negeri mempunyai kuasa untuk menggubal undang-undang dan seterusnya mengenakan hukuman terhadap apa jua kesalahan yang bertentangan dengan rukun Islam. Kuasa ini adalah berdasarkan kepada Senarai Dua Perlembagaan Persekutuan.

Tidak kurang juga yang mengaku sebagai bukan Islam untuk mengelak daripada dikenakan sebarang tindakan di mahkamah syariah. Ini sebagaimana yang berlaku dalam kes Kamariah Ali dan Lain-Lain lwn.Kerajaan Negeri Kelantan, Malaysia dan Satu Lagi ([2002] 3 MLJ 657) yang mendakwa diri mereka sebagai bukan Islam dan oleh itu, tidak tertakluk kepada hukuman dan perintah Mahkamah Syariah yang terdahulu yang telah menjatuhkan hukuman ke atas mereka. Dalam kes ini diputuskan, antara lain, bahawa seseorang adalah masih dikira sebagai orang Islam- walau apa sekalipun dakwaannya – sehinggalah diputuskan sebagai bukan Islam oleh Mahkamah Syariah.

Isu pengkid dan tomboy juga menarik perhatian masyarakat sedikit masa lalu, apabila Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan mengumumkan keputusan mesyuarat mereka bahawa pengkid adalah haram di sisi Islam. Di dalam undang-undang jenayah syariah masa kini, peruntukan yang telah sedia ada ialah kesalahan apabila seorang lelaki berlagak seperti perempuan (pondan dan maknyah), bukan sebaliknya. Justeru, jika perlakuan pengkid yang berorientasikan seksual yang hendak dihalang, maka undang-undang perlu jelas mengenainya sebelum boleh dilaksanakan. Di samping itu definisi pengkid dan tomboy juga hendaklah jelas agar masyarakat mengerti perihal ini.

Kesalahan minum arak di Pahang baru-baru ini juga mencetuskan kontroversi apabila Hakim Mahkamah Tinggi Kuantan mengenakan hukuman maksimum ke atas seorang wanita yang mengaku minum arak jenama Tiger Beer, satu kesalahan di bawah Seksyen 136 Enakmen Pentadbiran Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang 1982 (Pindaan) 1987. Beliau bagaimanapun menunjukkan teladan yang baik dengan akur kepada keputusan mahkamah serta menyuarakan rasa insaf dan serik di atas kealpaannya hingga melakukan perbuatan terkutuk itu. Barangkali kesedaran ini didorong oleh pengetahuan bahawa jika di mahkamah Allah, beliau mungkin disebat sehingga 40 kali kerana melanggar had (j. hudud) Allah. Jelas kepada kita bahawa walaupun Islam mendapat tempat di dalam masyarakat, namun pelbagai cabaran dihadapi dalam melaksanakan undang-undang jenayah syariah ini.

No comments: