Monday, February 7, 2011

Visiting Lecturer di Fakultas Hukum Universitas Indonesia

Mulai 17hb Jan hingga 30 Januari 2011 yang lalu, saya berpeluang dan diterima sebagai Dosen Tamu di FHUI. Tempoh itu sebenarnya amat singkat, namun dengan keberdayaan yang ada serta kapasiti diri ketika itu, 14 hari di Depok merupakan momen yang amat saya hargai. Sehingga kini, saya sendiri masih sukar mempercayai bahawa saya mampu berada di sana. Macamana saya boleh meninggalkan Najla yang baru 6 bulan, adalah sesuatu yang saya sendiri tidak tahu bagaimana menjawabnya. Prof Uswatun, Guru Besar FHUI juga terperanjat bila saya beritahu usia anak bongsu saya itu. Saya juga tidak percaya. Tetapi bagi saya, ada dua faktor sahaja. Pertama ialah keizinan suami saya. Bagi saya, apa sahaja yang saya ingin lakukan, terokai, jelajah atau apa sahaja, kalau suami saya tidak menyokong saya dari belakang, pasti ia tidak akan terjadi.Untuk itu saya amat bersyukur kerana beliau tidak pernah mengatakan tidak kepada saya. Kedua: divine intervention. Kuasa dan ketentuan Allah jua. Saya bertambah yakin bahawa segala yang berlaku, adalah dengan keizinan dan kehendak Ilahi. Pada pandangan mata kasar orang, saya mungkin tidak boleh kemana kerana gerabak keretapi yang panjang, namun Allah memberi lampu hijau untuk saya meneruskan perjuangan...

Saya dijemput untuk menghadiri Himpunan Ilmuwan dan Sarjana Syariah Seluruh Indonesia (HISSI) yang diadakah di Syahida Inn dan UIN Syarif Hidaytullah di Ciputat. Prof Amin Suma dan Pak Mokri Aji yang sedia dikenali menjemput saya dan rakan saya Dr Raihanah ke majlis itu dan mereka menamakan kami berdua sebagai "Wakil Malaysia". Wah, kayaknya seperti Duta! DI FHUI, Depok, saya digabungkan dengan sahabat lama Ibu Neng Djubaedah untuk berbicara topik "Kejahatan Seksual" anjuran Djokosoetono Research Centre, FHUI. Seronok kami apabila diberitahu oleh rakan saya Dr Topo Santoso, bahawa sepanjang beliau menerusi Djokosoetono Research Centre mengadakan Diskursus bulanan, acara inilah yang mendapat sambutan paling ramai. Teruja sungguh saya mendengarnya. Dr Topo Santoso amat mesra dan senang bergaul dengan sesiapa sahaja. Beliaulah yang bertanggungjawab menguruskan keberadaan saya di FHUI. Maklumat lanjut tentang FHUI dan Djokosoetono RC di www.law.ui.ac.id.

No comments: