Monday, February 7, 2011

Patuhilah Pihak Berkuasa Agama

Sejak akhir-akhir ini, terdapat segelintir pihak yang dilaporkan mempertikaikan perintah pihak berkuasa agama di Negara ini. Yang lazim kita dengar ialah ada sesetengah pihak yang mempersoalkan undang-undang jenayah syariah dan hukuman yang dijatuhkan oleh mahkamah syariah. Itu sudah biasa kita dengar. Tuduhan yang mengatakan bahawa pihak berkuasa agama, mencampuri urusan peribadi masyarakat islam dan membuat penilaian moral berasaskan standard moral mereka sendiri adalah perkara yang sering kita dengar. Terbaru (walaupun tak baru), ada pula pihak yang enggan mengikut perisytiharan tentang tarikh hari raya haji pada akhir tahun 2010 yang lalu. Mereka mempertikaikan kenapa hari raya jatuh hari Rabu sedangkan hari wuquf ialah Isnin. Selasa sudah hari raya di Arab Saudi dan mereka mahu mengikut negara Arab Saudi, dan bukannya ikut negara di mana mereka tinggal. Saya pernah terdengar di kedai kopi, seorang wanita bercakap dalam telefon dan berkata dia akan beraya sehari lebih awal daripada majoriti Muslim di negara ini dan katanya itu antara dia dan Allah sahaja. Masya Allah, dah pandai ijtihad sendiri pulak..... Di Perlis pula, satu kumpulan berjaya ditangkap kerana tidak mematuhi pihak berkuasa agama kerana beraya sehari lebih awal. Mereka dah bertakbir dan sembahyang sunat Aidil Adha. Masya Allah.

Mungkin kita kena balik kepada al-Quran bagi menerangkan kedudukan kita sebagai rakyat dan orang awam. Firman Allah dalam Ayat 59 Surah al-Nisa’ bermaksud:

“Wahai orang-orang yang beriman! Patuhlah kepada Allah dan patuhlah kepada Pesuruh Allah dan mereka yang memerintah kamu."

Al-Qurtubi dalam mentafsirkan ayat ini, menjelaskan tujuh perkara yang umat Islam mesti patuhi pemerintah iaitu:
(1) penempaan dinar dan dirham sebagai matawang,
(2) penetapan berat dan ukuran,
(3) berkaitan hukum-hukum,
(4) berkaitan urusan haji,
(5) hari Jumaat,
(6) tarikh dan penetapan hari raya, dan
(7) hal jihad.
Lihat Abdullah Muhammad ibn Ahmad al-Ansari al-Qurtubi (1994), al-Jami‘ li Ahkam al-Qur’an, j.3, Beirut: Dar al-Fikr, 224

Dari sini, kita bolehlah menilai bahawa kepatuhan dan kebersamaan dalam mematuhi perintah dan arahan pihak berkuasa adalah esuatu yang wajib atas dasar kepentingan awam. Dalam bab matawang, bayangkan kalau ada yang enggan menggunakan RM sebagai matawang. Berkaitan urusan mengerjakan haji, kalaulah tiada Tabung Haji yang menyelaraskan urusan ibadat ini,sudah tentu akan kucar-kacir jadinya. Begitu jugalah dengan hal-hal lain lagi yang semestinya kita akur. Wallah a`lam.

No comments: